Wednesday, August 5, 2009

Rindu kakak...

Salam 'alayk,

Tengah dalam mood bersantai sambil membaca himpunan artikel berkenaan ramadhan di dalam PC, tiba-tiba mata tertarik satu folder yang bertajuk, dalam disket hitam. Faham-fahamlah kalau berdisket-disket ni zaman bila la tu agaknya ye, hi hi. Klik lagi folder tu, ternampak pula satu folder bertajuk warkah buat kakak.

Warkah tu sebenarnya saya tujukan untuk kakak seaqidah saya kak Siti Khadijah Mat Yasin, orang Penang. Apalah perkhabarannya sekarang. Mudah-mudahan kakak berbahagia di samping suami dan anak-anak soleh-solehah. Saya amat-amat merindui kakak yang pada mulanya kami bertaaruf di Darul Quran, Taman Tarbiyyah bagi saya. Kak Jah nama panggilannya, bagi saya seorang muslimah mukminah solehah mujahidah. Apa lagi perkataan yang baik-baik semuanya saya anugerahkan untuknya kerana bagi saya dia seorang yang amat taatkan perintah Allah taala, seorang yang bermujahadah, istiqomah dalam amalan hariannya, tinggi syakhsiyyahnya, lemah lembut, pemurah, kesimpulannya semua akhlak yang baik ada pada dia. Sungguh, saya ingin menjadi sepertimu, kakak.

Apabila saya berlepas ke Mesir tahun 2003, kakak adalah antara orang yang menghantar di airport. Setelah bermastautin di Mesir hubungan kami masih berterusan. Sehinggalah tahun kedepannya kakak datang juga menjejaki Mesir, hubungan kami bertambah erat. Dia terlalu ambil berat tentang diri saya, selalu menemani saya kerana ketika itu suami ke Mekah dan sentiasa berada di Kaherah, berkebetulan saya mengandungkan anak sulung. Dia juga sanggup berkorban masa menjaga saya ketika berpantang. Banyak lagi jasa-jasa kakak terhadap saya, membuatkan kakak terlalu dekat di hati ini. Mudah-mudahan Allah membalas segala pertolongan dan pengorbanan kakak.

Sebelum kakak pulang ke Malaysia pada akhir tahun, kakak khabarkan yang kakak akan membina bait muslim. Kakak berpesan untuk memberi nasihat dan tunjuk ajar untuknya via emel, kemudian terciptalah warkah ini. Saya lakarkan ia dengan penuh kesyahduan, pelbagai rasa bertandang; sedih, gembira, terharu dan amat terasa kehilangannya. Pada hari perkahwinan kakak, ibu dan ayah saya dari Johor sanggup datang ke walimah kakak di Penang, menunjukkan keakraban kami.



Minta maaf ayat berbunga-bunga, saje berkongsi rasa di hati. Ketika ini saya amat rindukan kakak dan sentuhan tarbiyyah dan syakhsiyyahnya. Ketika ini, pelbagai cerita suka duka tergambar di fikiran ketika bersamanya dulu. Allah, saya sungguh merinduinya. Inilah perkongsian warkah untuk kakak, tidak seberapa, tetapi saya lakarkan dengan penuh keikhlasan biiznillah. Mudah-mudahan ada manfaat bersama.


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini




ألسلام عليكم ورحمة الله وبركاته

يوم ألاحد

2:15 مساءا

Seinfiniti kesyukuran dititipkan buat Tuhan Robbul Jalil, selawat dan salam untuk junjungan tercinta Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda, para sahabat dan pewaris generasi baginda.


Kakak yang dihormati,


moga tika dan saat ini Kakak sentiasa berada di dalam perhatian dan dakapan Allah jalla wa 'ala hendaknya. Bersyukurlah kepadaNya di tiap ketika kerana taqdirNya kita tergolong di dalam golongan ahlullah wa khossotuh. Tetapi kita tidak mengetahui di dalam kategori manakah kita diletakkan. Lalaikah kita, tidak beramalkah kita atau sebaliknya?


Kakak yang disayangi,


tujuan utama pena ini dilarikan tidak lain hanya satu. Walau apa jua yang aku carutkan motifnya tetap satu. Peringatan ini aku tujukan khas buat aku dan kakak. Kerana tangan yang menulis ini lebih dekat dengan telinga yang mendengar dan otak yang berfikir. Bersyukurlah Kakak, kerana Tuhan memberi kita peluang untuk kita mengecap ni'mat seorang isteri. Isteri yang solehah tentunya.Rasulullah telah bersabda sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita solehah .Tersanjungnya seorang wanita yang solehah itu sehinggakan nabipun turut mengiktiraf.


Kakak ,


Perkahwinan sebenarnya adalah sesuatu yang menyeronokkan. Siapa yang tidak seronok andai kita sentiasa di dalam kerredhoan Allah 'azzawajalla. Tidak payah…taatkan Allah dan RasulNya, taatkan suami, jaga solat, puasa, akhlak, maka Allah izinkan kita memasuki mana-mana pintu syurga. MasyaAllah, alangkah untungnya diri, andai semua itu memang kita lazimi. Banyak hadis-hadis nabi yang berkisahkan tabsyir seorang isteri solehah.


Tiap-tiap wanita yang menolong suaminya dalam urusan agama, maka Allah memasukkan dia ke syurga lebih dari suaminya, kerana dia memuliakan suaminya di dunia, maka mendapat pakaian dan wangian di syurga untuk turun ke mahligai suaminya dan mengadapnya.Hadis riwayat Ibnu Mas'ud.


Hadaf utama perkahwinan mesti dihadamkan andai kita ingin membina sebuah rumahtangga yang cemerlang dan robbaniyyah. Terlebih penting harus ingat kita adalah generasi al quran, maka tentunya rumahtangga itu sentiasa terikat bersama al quran dari pelbagai sudut.


Baitmuslim adalah gambaran sebuah masyarakat. Di dalamnya ada suami sebagai ketua, isteri sebagai pembantu, dan anak-anak sebagai masyarakat atau ahli yang harus kakak corakkan fikrah yang tulus dan murni kesemua mereka. Alangkah indahnya kehidupan seorang isteri solehah itu, kehidupannya lain dari kehidupan mereka yang biasa. Solatnya, bantuannya terhadap suami dan jasanya kepada anak-anak sentiasa mendapat gandaan pahala. Sentiasa mendapat perhatian dan kasih sayang Allah, konklusinya. Memang indah saat itu. Sudahlah mendapat perhatian dan kasih sayang yang tidak berbelah bagi dari suami dan anak-anak, perhatian dan kasih sayang Allah dan RasulNya juga turut kita kaut. Ibarat kata pepatah sambil menyelam, minum air, aduh bahagia sungguh seorang isteri solehah itu…baik benar Allah dekat kita ya kakak, tapi kita je yang selalu buat lupa dan tak tau…


Tetapi kakak,...


Kun haziran! Kerana setiap yang indah itu mesti di dahului dengan kesusahan. Ya, susah dan memang sukar. Aisyah puteri Rasulullah pernah menangis bila suaminya tidak mampu memberikannya seorang pembantu terhadap urusan rumahnya. Bila dia mengadu pada Rasulullah, maka Rasulullah memberikan hadiah zikir-zikir indah untuk mengurangkan penat dan bebannya. Itu, puteri Rasulullah, seoarang wanita yang diteladani sifat sabar dan tabahnya. Inikan pula kita, yang tidak pernah lengkap imannya kepada Allah. Yang selalu lalai dan leka. Mahukah Allah memberikan nusrahNya kepada kita yang selalu culas ini, kakak?

Betapa susahnya membina baitmuslim ini sehinggakan terasa peritnya bermujahadah. Cuba kakak bayangkan betapa susahnya ingin merebut hati suami, susahnya mendahulukan Allah dan rasulnya dari suami, peritnya melepaskan suami keluar untuk urusan agamanya, susahnya ingin selalu bersangka baik dengan suami, susahnya meraikan pendapat suami, sukarnya menghadapi sakitnya bersalin, susahnya mendidik anak, letihnya membasuh kain, melipatnya, memasak, mengemas rumah dan seribu satu macam lagi yang amat-amat meletihkan...


Patutlah, patutpun Allah janjikan darjat yang amat tinggi untuk seorang isteri solehah yang sentiasa ikhlas dan tidak bersungut terhadap kepayahan itu. Ya Allah, adil benar kau terhadap hamba-Mu ini, tetapi ya Allah, aku yang selalu culas dan malas bersyukur terhadapmu.

Itulah nilaian Allah terhadap segala kepayahan itu. Setiap yang susah mesti berbaloi. Segala yang payah itu adalah manis dan indah. Inilah peluangnya kita dekat dengan Allah, mengadu dan mengharap pertolongannya. Minta nusrahNya, walaupun sukar, moga-moga berjaya kita harungi untuk dinilai sebagai satu kebaikan di akhirat kelak.


Kakak yang disanjungi,


Bermujahadah dan bersungguhlah dalam membina rumah tangga ini. Kalau tidak kita yang corak siapa lagi? Dunia semakin hari, semakin tua. Sekarang dunia sudah di atas katil, menunggu kedatangan maut, tentunya. Siapa kita yang ingin menyalahkan andaian ini, sedangkan ketika Rasulullah bertemu duniapun ketika itu sudah bongkok tiga, apatah lagi pada zaman kita yang beribu-ribu tahun jauhnya dari Rasulullah. Mautnya dunia hanya menunggu seruan Allah sahaja. Bila aku menilai-nilai kehidupan dewasa ini, kiamat memang sudah hampiiiir benar.Banyak sudah tanda-tanda yang kiamat bakal kita temui tidak lama lagi. Aku cukup takut bila berbicara sebegini, tetapi semuanya memang benar. Itulah untungnya kita yang Allah bagi keni'matan di alam rumah tangga. Allah bagi peluang kita beramal di dalamnya, Allah juga memberi kita anak-anak untuk kita selamat di akhirat nanti, andai ajaran yang kakak berikan kepadanya selari dengan syariat. Ah, apalah nak ditakutkan dengan kiamat, mati itu yang patut ditakutkan terlebih dahulu kerana ia tiada tanda!


Aku suka mengingati kata-kata ini untuk ingatan bersama. Kata-kata ini juga ingatan dari suamiku ketika menjelangnya perkahwinan kami ; wasiat kepada para muslimat dari Dr Abdullah Yusuf Azzam :


Wahai wanita-wanita Islam! Berhati-hatilah dengan sifat berlebih-lebihan kerana inilah musuh jihad dan menyebabkan kematian pada jiwa-jiwa manusia. Berhati-hatilah dengan barangan yang tidak perlu dan cukuplah dengan barang-barang yang perlu sahaja. Didiklah anak-anakmu untuk menjadi berani dan tabah. Jadikan rumah-rumahmu tempat untuk singa-singa bukan reban-reban ayam di mana anak-anakmu diberi makan untuk disembelih oleh musuh-musuh Islam. Bajai hati anak-anakmu dengan cinta kepada jihad dan cinta kepada medan perang. Berkongsilah masalah umat ini. Hidup sehari setiap minggu seperti para pelarian dan para mujahidin. Mereka hidup memakan roti kering dan teh sahaja.


Wasiat kepada isteri beliau...


Wahai isteriku! aku ada terlalu banyak perkara untuk dikatakan padamu. Moga Allah memberi ganjaran kepadamu bagi pihak aku dan bagi pihak umat Islam. Kau sungguh bersabar bersamaku dan kau berdiri bersamaku melalui segala kesusahan dan pancaroba dengan kesabaran dan ketabahan. Dari dirimu aku mendapat sokongan yang aku perlukan untuk meneruskan jihad ini. Aku berikan kau tanggungjawab ke atas rumah pada 1969. Ketika itu kita mempunyai tiga orang anak yang kecil hidup di sebuah bilik tanpa dapur dan peralatan. Apabila keluarga kita semakin besar, anak-anak kita semakin membesar, tetamu-tetamu kita semakin bertambah, kau bersabar dengan keadaan ini...dan banyak lagi kerana Allah, juga ketaatanmu padaku sebagai suami. Aku berdoa agar moga Allah memberi ganjaran padamu bagi pihakku. Jika tidak dengan kesabaranmu, aku tidak akan mampu menanggung beban ini seorang diri. Kau adalah isteri yang redha dan tidak mementingkan kebendaan. Kau tidak pernah merungut kerana kekurangan kebendaan ini. Kau juga tidak pernah boros ketika mempunyai sedikit kesenangan.

Kehidupan jihad adalah kehidupan yang paling menyeronokkan. Bersabar dalam menghadapi kesusahan adalah lebih baik daripada hidup mewah. Bersabarlah dan redhalah dengan apa yang ada nescaya Allah akan mencintaimu. Jangan kau inginkan apa yang dimiliki oleh orang lain nescaya orang akan menyayangimu. Al-Quran adalah penghibur kehidupan. Tahajud, puasa sunat dan memohon keampunan; semua ini akan menjadikan hati jernih dan ibadah manis. Cukup dengan keperluan asas, benda-benda halal, menjauhkan diri daripada kelihatan hebat dan sifat berlebih-lebih akan membawa keamanan dan ketenangan pada hati. Aku berdoa kepada Allah semoga kita disatukan kembali di syurga seperti Dia menyatukan kita di dunia ini.


Jika nanti kakak bersedih dan hilang semangat dalam mengharungi hari-hari sukar dalam rumah tangga, ingatilah nasihat ini dan kenangkanlah isteri-isteri mereka yang sanggup kehilangan mereka di dunia demi Islam tercinta. Kita ini sebenarnya terlalu manja kakak , hati ini selalu sangat dimanjai. Apalah salahnya jika sekali sekala ianya derita untuk menagih kembali perhatian kita terhadap Robbul'izzati. Selamat membina kehidupan baru bersama kekasihmu, biiznillah. Doakan aku supaya tabah lalui hari-hari sukar ini. Aku redha lalui kesukaran ini demi ingin bertemu hari kegembiraan dan ketenangan di yaumilmahsyar nanti. Azamlah dalam diri, kitalah orangnya yang dikatakan tangan yang menggoncang buaian bisa menggegarkan dunia, biiznillah.


Salam mujahadah berpanjangan dariku,


Ummu Huzaifah.



No comments:

Post a Comment